Anniversary

Wednesday, December 18, 2013

Mummy..Mummy..ngok (tengok) tuuuuu..

Cam mana nak mula ek, tapi sebelum tu nak tanya korang, orang kata budak-budak boleh tengok benda yang kita tak nampak, betul ke?

Dua hari lepas masa aku, En. Khus dan Abang Danny sedang leka melayari hobi masing-masing, tiba-tiba dalam lebih kurang pukul 10.00 malam Ayish Kibung panggil mummy..mummy atu (hantu)..sambil tunjuk kat sliding door..tapi aku wat bongok jer walaupun aku dengar apa yang dia cakap tadi..lepas tu dia pegi kat En. Khus plak, sambil tarik tangan En. Khush.." papa..papa..atu.." sekali lagi jari kecik comey Ayish kibung tu tunjuk kat sliding door, En. Khus cakap..hishhh mana ada, sambil pandang aku, aku pun terus bangun gi bukak tb, kasi suasana bising sikit, sejak umah aku tak der Astro ni, jarang beno bukak tb, padahal  tb unifi ada tapi malas nak bukak, lagi pun bukan tengok pun, En. Khus main bola kat PC, Abang Danny main PSP, Ayish main Ipad, aku main Ipong, pah tu bila kala nak tengok tb nyer, kalau Bang Long ada, dia main PS2 kat bilik dia sekali sekala baru dia bukak tb tengok katun.

Pastu aku layan dia main cam biasa, dan abaikan apa yang dia tunjuk tadi, walaupun rasa cuak jugak, sebab rasanya aku ngan En. Khus pun dah lama jugak tak ngaji, sejak-sejak aku asik balik lambat jer.  Selalunya En. Khuh selalu ngaji sebab aku leh layan anak-anak, bila aku balik keje lambat, dia pun tak dan.  Dalam pukul 11.00 malam, aku pun naik atas sambil layan member-member kat wat sap group, dalam 15 minit kemudian aku dengar En. Khus tutup lampu kat bawah pas tu sambil kendong si kenit tu begegas naik atas. Abang Danny ngekor dari belakang.  Aku ingat nak tido dah, sebab siap kunci pintu bilik bagai, dia baring sebelah aku, tarik selimut terus tido.

Esoknya, bangun siap-siap, naik kete gi keje,  dalam kete En. Khush cakap, " lepas Ayang naik atas tu, dak kibung tu cakap lagi atu..atu..tunjuk kat dapur, terus segala bulu yang ada tegak berdiri, tu yang Abang tutup lampu gegas naik atas, malas nak bagitau ayang malam tadi, nanti mesti Ayang tak leh tido".  Masa dia citer kat aku tu pun meremang segala bulu-bulu yang ada, gulp..telan liur.  "Betul ke bang, ke saje dia cakap-cakap jer?" ntah la kan..tapi tak kan la budak umur dua tahun saje-saje nak cakap pulak.

Balik dari keje petang tu, lepas maghrib En. Khush terus ngaji, aku pulak tak leh semayang..takut la jugak kan, tapi lepas tu tak rasa apa dah, Ayish pun tak der dah cakap atu..atu..mungkin sebab aku dok selalu sangat bercerita kat group wat sap pasal hantu-hantu nih.  Benda-benda cam ni orang kata jangan disebut-sebut.  Skang ni, dah macam biasa, malam-malam baru nak jemur kain, angkat kain segala.  Tu la rutin bila balik keje lambat, malam baru nak wat keje rumah.
(Ini budak yang dok tunjuk kat sliding door belakang tuuuuu)

Wednesday, December 11, 2013

My Old Friend DSK 99

Sejak kebelakangan ni, aku jarang tengok FB lepas aku terjumpa kawan-kawan lama masa sama-sama belajar di Politeknik Sultan haji Ahmad Shah, Kuantan. Create pulak group kat watsap..hari-hari dok main watsap sampai berasap

Macam-macam cerita keluar, dari masa belajar, kawin, lepas tu dapat anak, pendek kata sehari kalu tak online beribu notification, kadang, kalau aku bz kat opis tak sempat online..blk umah amik ko..bepinar nak baca balik yang diorang borak.  Tapi happening sangat-sangat boleh bekongsi cerita suka duka ngan kawan-kawan lama yang dah macam  adik beradik.  Siap boleh pulak bg asignment post gambo2 lama..lpas tu masing2 komen.
(Sem 4 Diploma Sains Kesetiausahaan (DSK) 99 Tahun 2000)

Ni la kawan-kawan sekelas aku masa kat POLISAS, course Secretary Science, majoritinya jadi secretary, boleh kira yang kerja keluar dari bidang and majoritinya jugak keje gomen.  Even ada setengah2 tu yang sama keje kat Putrajaya pun tak jumpa, untill ada group kat wat sap tu baru la kitorg contact each others.  Tapi tiap hari ada jer topik bengong yang diborakan, sampai citer hantu pun cerita, walaupun melalui handphone jer tapi kalau time borak aku dapat rasa macam seolah-olah diorang depan mata aku.  Aku betul-betul rindu saat belajar ku.  Nak-nak kalau dengar lagu Ogy Ahmad Daud, Wajah Rahsia Hati tu, semua kenangan kat POLISAS bermain kat depan mata, macam tengok wayang. cewahhhhh...gitew..
Gambar pun dah kabur, maklumlah dah bebelas tahun.  Actually aku tak jumpa diorang hampir 12 tahun selepas konvo tahun 2002.  Kecuali eta, aku selalu jumpa sebab kitorang main netball.  gambar ni masa gi lawatan sambil belajar kat Tugu Negara, yang baju merah tu lecturer aku selaku ketua kursus DSK, Encik Rahim Bahaman.  Masa aku kerja di LPM, KPM pun aku jumpa En Rahim, sebab lepas tu dia naik pangkat dan ditempatkan di Bahagian Jemaah Nazir Sekolah, KPM.  Sebelah jer ngan opis aku.  Lepas tu jugak dia selalu contact aku nak tau result exam anak-anak dia.  
Ni pun gambar masa lawatan ke Putrajaya.  Masa ni Putrajaya belum siap sepenuhnya, siap begambar depan PM Office lagi, ye lah budak-budak, peghak ler sikit. bangga dapat begamba depan pejabat PM, skang ni tempat ni, laluan aku hari-hari dah tak heran dah.
Ni gelagat dalam bas sepanjang perjalanan ke KL.  Tengok muka aku, muka cam kanak-kanak ribena, muka suci lagi tu, baru 19 tahun tau.
Ni kelas masa Semester 1, tahun 1999, baru lepas SPM, semua ayu gitu, ni kat dalam kelas menaip, untuk sem 1 kene guna mesin taip degung degang ni, terjolok jari-jari kat celah-celah hurup, punya la seksa masa mula-mula belajar dulu, dah la tu bising nak mampus bunyi ketikan typewriter gedabak ni.  Selain nak lembutkan jari jemari dan nak biasakan dengan huruf-huruf, we are as secretary kene belajar default typing error, sebab mesin type besar dabak ni tak boleh nak padam ok.  Permulaan kelas menaip ni, ramai yang kantoi jugak lah, nak-nak geng jantan kaberet ni, gagah perkasa tapi course secretary Science, kene kerumun kat awek-awek sengal pulak tu.  Masa tahun kitorang ni, first time ada lelaki dalam course ni, so ada la skit kene pandang rendah kat budak-budak engineering, accounting, elektrik, tapi aku respect kat geng-geng jantan ni, sebab diorang cam ilek jer and still continue the study sampai habis, skang kalau kat Jabatan Kerajaan, nak-nak opis aku kat Wisma Putra ni, PA laki is hot ok, berebut la Duta-Duta Besar nak, sebab tak yah cuti beranak and senang nak antar ke mana-mana country pun.  So jangan menyesal or malu-malu lelaki nak amik secretary.  Sebab lelaki paling cepat peluang bekerja di luar negara. Tu kalau kat opis aku.
Masa ni aku lupa sem berapa, tapi ni pun kat kelas menaip, tapi dah guna typewriter letrik, so kalau tak sem 2, sem 4 kot.  Ye lah kitorang mana ada kelas lain pun, jarang sangat gi bilik kuliah, belajar shorthand kat bilik menaip ni, belajar trengkas kat sini la jugak, belajar akaun punnn sini jugak..lawwww punnnn sini jugak..dah nama pun secretary, pagi petang siang malam mesti dengan mesin taip.
Happening kan kelas kitorang, dari muda sampai ke beranak pinak cam ni la perangai masing-masing.  Tapi kenangan masa belajar adalah paling best dalam hidup aku.  Tu adalah kenangan terindah.  Aku bangga menjadi seorang setiausaha. ceeewahhhh..

Lepas konvo tahun 2002, kitorang terpisah dengan haluan masing-masing, meneruskan kehidupan dari tahun ke tahun sehingga lah tahun 2013 kitorang berjumpa kembali selepas 12 tahun terpisah.
Ni perjumpaan pertama kitorang selepas 12 tahun terpisah.  Jumpa di rumah Dato' Jalaluddin Hassan lagi, sebab salah sorang dari kawan aku kawin dengan anak Dato' Jalal.  So we are decided reunion kat umah Dato Jalal. Dengan dihadiri oleh lecturer terhormat lagi disayangi, En Rahim and family. Yang buat aku lagi terkejut, En Rahim still ingat nama kitorang semua satu persatu.  Wahhh rasa nak menitik air mata masa tu.

Walaupun reunion kat rumah retis, bila dah lama tak jumpa, dah jadi macam umah kitorang sendiri dah, terkinja-kinja, terjerit-jerit dengan gelak ketawa masing-masing, bayangkan dan 12 tahun tak jumpa, dengan perubahan fizikal selepas masing-masing dah semakin membiak.  Semua dah heret anak  3 4 dah pun. 
Ni En. Rahim serta isteri dan anak-anak, yang satu masa dulu aku pernah tolong tenggokkan result diorang, dah besar and dah kerja dah pun, lagi aku terharu, wife En. Rahim pun still ingat nama aku. Siyess aku bangga.
Ni la suka duka sepanjang reunion kitorang kat rumah Dato' Jalal yang memang sporting giler melayan kami, yang mengalahkan budak kecik ni.
Malam tu hantar geng-geng yang dok Penang ke airport.  Rasa terharu sebab geng-geng Penang sanggup turun KL ke reunion pertama DSK.
Esok tu pulak last day ngan Tina geng Penang, merempit laki bini turun KL naik motor.  Sangat-sangat happy sebab diorang sanggup turun KL semata-mata nak jumpa kitorang.
rasa  macam Menteri gitu, di'eskot' oleh motorbike laki Tina nih..

Lepas reunion tu, makin menjadi-jadi kitorang berwatsap, kadang aku sambil makan pun berwatsap lagi, gamba makanan update hari-hari, aktiviti masing-masing update hari2, so sepanjang hari terisi dengan macam-macam gamba or topik-topik hangat yang tak hengat...and the best part is, suami masing-masing memang sporting habis, boleh layan jer bini berwatsap.  Memori dengan korang adalah kenangan manis dalam hidup aku.  Aku berharap agar hubungan ini berkekalan sampai bila-bila dan walau dimana korang berada. Sayang DSK 99 ketak-ketat.

Monday, September 16, 2013

FIREWORK

As salam semua..

Malam tadi aku mengeletis nak tengok bunga api, dah lima tahun aku rasa tak der pertandingan bunga api kat putrajaya, sebab last aku tengok masa akhir tahun 2007, masa tu aku tengah mengandungkan Abang Danny, aku gi tengok naik motor jer ngan En. Khush, kat presint 5 kalau tak silap aku, sebab masa tu banyak lagi jalan kat Putrajaya tak bukak lagi, so..nak ke presint 5 tu agak sesak skit, so we decided used motorcycle, nak mengelakkan jammed.

Tapi malam tadi, baru ler aku tengok balik, setelah lima tahun tak tengok pertandingan bunga api besar-besaran kat Mesia ni.  Aku pun tak tau malam tadi turn negara mana.  Kitorang sampai dalam kul 8.45 malam.  Kiranya tak berapa sesak la lagi, sebab polis banyak lencong jalan and kebetulan kitorang sampai, polis baru bukak tempat parking baru, so dapat lah kitorang parking dekat sikit ngan tasik kat PICC tu, tapi tak der la dekat sangat, kene jalan la sikit, sebab kitorang parking seberang jalan, so kene turun bukit, menuju ke tasik dekat jambatan kat PICC.  Aku pun tak tau Presint berapa, tapi kitoarang dok kat bawah jambatan PICC tu la.
Mula-mula sampai, memang budak bertiga ni baik lagi, boleh duduk, tengok orang lalu lalang, tapi dah sampai ke minit 30, diorang dah macam kene gigit semut, si kecik tu berlari sampai aku pun berpeluh nak mengejar, tapi macam biasa lah, tukang kejarnya Abang Long, lepas Abang Long tangkap, terjerit-jerit macam kene sawan, adui cam rasa nak balik dah masa tu.  En. Khush tak yah cakap la, rasa cam panas bontot dah, nak ajak balik.  Sabor je lah..sebab tu gambo semua gegar-gegar, sebab mana nak mengejar anak, mana nak tala camera, bila tengok gambor memang rasa sakit hati pun ada.

Si kecik dah mula adegan berlari ke sana ke mari, Abang Long still maintain lagi, kejap lagi, dia pun sama, bontot kene gigit semut, duduk lama-lama.  Berlari tak hengat dunia, macam baru terlepas kat padang yang luas.
Nak mengelakkan hero tiga orang ni barlari, kejap-kejap papa panggil amik gambor, kejap-kejap panggil amik gambor, sampai abang Long cakap, "asik begambar jer, orang nak tengok bunga api", dah kalau sampai kul 8 lebih, bunga api nya kul 10.00 malam, idok ker boring tuh, dah la ada orang jual air, nak beli air pulak, dah penat berlari, dahaga, air nya pulak mahai tok sah cakap laa, pandai sungguh depe ni wat duit. Sib baik ada jual air jer, kalau jual eskrim, jual belon tembak-tembak, mau nak tunggu kul 10.00 malam bankrap mummy.
Bunyi berdentum sekali, kecik kepala budak Ayish kibung tu lari kat mummy, terkejut agaknya..sempat ler papa snap gambar terkezut tu, tapi lepas tu, terus ilek balik, dan-dan lari keliling, ada dia kisah berdentum dentam ataih kepala tu..pertunjukkan bunga api ni, dalam setengah jam jugak la..jenuh berdiri, nak duduk orang ramai kat depan, idok nampok pulak, tepaksa le berdiri jugak.  Korang layan ler gambo bunga api yang sempat En. Khush snap ni, sebab lepas habis tu, kitorang terus berangkat balik, sejam terperangkap jamed nak kuar dari Putrajaya, dari kul 11.00 nak kuar Putrajaya sampai umah dekat kul 1.00 pagi.  Sampai umah, semua terus tebongkang , penat meredah jammed memalam buta tu, keadaan kat Putrajaya. kul 12.00 malam cam kul 9.00 malam, giler meriah.






Sunday, September 15, 2013

ermmmm....manginyerrrr...

Hi u olsss..

Kalau citer hal minyak wangi, aku rasa pompuan memang suka ngan minyak wangi, termasuk la aku kan..
Sebab kalau nak pegi kerja or keluar jalan-jalan tak sembur minyak wangi memang rasa tak sah, rasa cam tak lengkap pulak
Mesti terhidu-hidu bau baju sendiri, kot-kot la bau ketiak ke..bau ashem ke..kennnn
Kalau En. Khush wangi pun, aku suka, kadang-kadang nak pegi keje tu, lepas salam-salam..peluk-peluk..cium-cium..tetiba lak terbau wangi lebih hari tu, bisa mendatangkan aroma nak peluk lebih-lebih..,hahaha..itu aku la..tak tau la orang lain.  Sebab aku ngan En. Khus setiap pagi lepas aku salam cium tangan, dia akan peluk n cium-cium aku, ni bukan nak bukak cerita dalam kain sendiri ek, ni nak cerita, kemesraan suami isteri, dah 10 tahun dah aku ngan En. Khush amalkan macam tu, Alhamdulillah harmoni rumahtangga..Insyaa Allah..
Kalau sehari termiss buat macam tu, sampai petang tak tenteram, tapi Alhamdulillah sepanjang 10 tahun hidup bersama ngan En. Khush, ada lah sekali dua termiss, kadang-kadang anak-anak yang akan ingatkan, kalau aku lambat turun waktu En. Khush nak keluar gi keje pagi-pagi tu..Abang Long yang bising..
"mummy cepatlah Abang Long dah lambat ni".  Tapi kadang-kadang En. Khush yang naik atas balik, kalau aku lambat turun..boleh cenggitu..

Haiiihhhh..gi cerita benda lain pulak, suka tau melalut ke lain.  Aku nak citer pasal ni..
Minyak wangi yang baru aku beli semalam, aku survey perfume ni kat ebay, lepas tu cari feed back kat Jadore Dior.  Bau dia memang wangiii sangat-sangat, dan harganya pun aku rasa cam tercekik biji durian, aku pernah guna  jenama Dior ni..tapi yang perasa cam kat bawah ni

tu pun aku beli hak kecik jer, idok mampu hok besar-besar gadang..tapi wangi dia, melekat sampai petang, memang mabeles, sembur sikit jer, udah semerbak satu rumah.
Ni, koleksi minyak wangi aku dari setahun setengah yang lalu,  botol Christian Dior yang lama ntah mana aku campak kan, rasa cam simpan satu tempat dah, tengok-tengok tak dak..tapi dalam banyak-banyak ni aku suka bau Elizabert Arden 5th Avenue, tapi stok dah yilek, minyak wangi ni, aku beli ngan kakak angkat aku yang kerja kat KLIA, dapat la jugak 10% less for KLIA staff, kira ok la kan, daripada harga without less langsung.  DKNY tu, aku ada 4 koleksi, Green Apple, Fresh Blossom, Golden Delicious ada la sikit lagi, nak jimat-jimat, leh tukar-tukar bau, pastu Red Delicious(yang ni aku tinggal kat umah pak mertua aku kat Seremban) sebab laki aku ni suka balik terkejut-terkejut, mana lah tau time-time nak kuar kan, lagi pun aku malas nak hangkut minyak wangi kehulur kehilir, dengan botoi-botoi gadang ni, ada la yang kecik conet, aku letak lam beg, DKNY Green Apple.

Semua minyak wangi ni, kat Ebay murah gila tau u olss, sakit ati mak tau, tapi tak der shipping to Malaysia.  Jadore Dior tu, Ebay wat sale baru 36USD, cer korang convent Malaysia, baru dalam 100 lebih jer, plus shipping may be around 200 henggit jer, ok sangat-sangat kan, tapi kat Mesia yang botol sebesar aku punya tu dah 300++ dah tau, uhuk..uhuk..uhuk..apsal la barang-barang kat Mesia ni mahai sangat, plak tu tak der shipping ke sini, yer la kalau ada, harus lah barang-barang kat Mesia ni tak laku, sebab Mesia pun import semua barang-barang ni.  Kalau nak murah sikit gi la beli kat Singapore nu, tapi sama jugak tolak minyak, tolak penat, tolak tol..pung pang pung pang, dah sama rege ngan kat sini.  Tak tau la berapa lama pulak Jadore Dior aku tu boleh bertahan.  Harap-harap sempat la 6 bulan, memandangkan bedak aku pun dah mula susut nih..haiii..duit..duit..cam air mengalir disungai..

Wednesday, September 11, 2013

Oh Gigiku Sayang

Aku memang particular bab gigi,sebabnya aku takut sangat rongak..aku takut kalau suatu hari nanti, bila dah tua-tua, tak der gigi, aku dah la kuat menyengih..macam mana nak menyengih kalau tak der gigi..huhuhu..sambil tongkat dagu depan PC pandang atas..ishhh tak dapat bayang aku derr..ngeri pun ada..TAK NAKKKK...

Sebenarnya aku pernah buat rawatan akar untuk 2 batang gigi aku, gigi geraham ngan gigi tepi, En. Khush cakap membazir jer, sebab gigi geraham kalau cabut bukan orang nampak pun, buat apa nak rawat-rawat lagi, cabut jer la kan, tapi hakikatnya aku sayang nak cabut, nanti tak der gigi, cam mana? cam tu la jugak ngan gigi tepi tu, kalau sengih bukan orang nampak pun, tapi aku takut kalau gigi aku hilang. Dalam usia aku 32 tahun ni, gigi aku masih lagi cukup 32 batang, eh betul ker gigi orang dewasa 32? kalau salah, korang google lah sendiri, tapi walau apa pun gigi aku masih cukup lagi.

Aku buat rawatan akar gigi tepi tu pada tahun 2011, tu pun sebab dah sakit , kalau ikutkan mana boleh selamatkan lagi gigi tepi aku tu, sebab agak kritikal lubangnya, tapi aku cakap kat doktor, saya nak selamatkan jugak gigi saya ni.  Lepas dia cek sumer, lubang kat gigi aku dah kene 3 akar, sebab tu sakit sangat-sangat.  Korang pun tau kan kalau sakit gigi ni macam mana.  Tak boleh tido, tak boleh makan, tak boleh bising, sakit kepala, berdenyut..Ya Allah..sakit Ya Rabbi.  Masa aku buat root canal kat gigi geraham tu, tak der la aku sakit sampai guling-guling, may be gigi geraham besar, dan masa tu akar pun tak kene banyak sangat, so kurang la sikit sakitnya, tapi masa aku buat gigi tepi tu, masa pertama kali rawatan, aku guling-guling tak hengat.  Tapi untuk appointment kali kedua tu, rasa sakitnya dah tak der langsung.  So aku ikut lah rawatan yang telah doktor tentukan tu macam biasa, sampai lah suatu hari tu, doktor cakap, rawatan awak ada sekali jer lagi, so lepas ni dah ok.  Tapi sebenarnya lepas rawatan yang seterusnya tu, aku dah memang tak sakit pun, so bila dah lama-lama tu aku dah lupa pasal gigi tu.  Cam tu lah manusia, time sakit sibuk nak berubat, bila dah tak sakit, dah lupa terus yang kita patut sentiasa rawat supaya tak berulang sakit.

So dari hari ke hari, dari bulan ke bulan dari tahun ke tahun, aku terus lupa pasal gigi aku yang tak habis rawatan lagi tu, sampai lah, pada hari ni, 11 September 2013, aku balik keje cam biasa, dok minum petang ngan En. Khush, tiba-tiba aku rasa, eh-eh..apsal gigi ni rasa belubang, besar pulak tu, eh..gigi dah hilang ke?, tampal dah cabut ker?, eh macam mana boleh cabut, terus aku gi amik cermin kecik, cek punya cek, tampal tu dah cabut, sepantas kilat, aku call klinik gigi yang dah 2 tahun aku tinggalkan tu, aku bagitau nak gi klinik, tapi klinik tutup pukul 9.00 malam, aku cakap, walau apa pun nak kene pegi jugak, nurse kat klinik cakap, kene datang sebelum pukul 8.30 malam, sebab klinik dah nak tutup, aku tengok jam, dah pukul 7.15malam, mana sempat aku nak lari ke Bangi nu..adoi parah cam ni, so sepantas kilat, aku mandi, solat Maghrib, cakap kat En, Khush kene pegi klinik, sebab gigi dah hilang ni ha..dengan selamba En. Khush cakap, kalau dah hilang, tak kan boleh bubuh balik kot..sokmo gitu En. Khush ni, jam dah kul 7.30 malam ni, aku terus rushing ke Bangi nu, gi klinik yang biasa aku pegi tu.  Sambil bawak keter, aku tengah pikir apa alasan aku nak bagi kat doktor ni.  Lantak la, janji gigi aku selamat.

Sampai jer klinik, terus masuk jumpa doktor, dengan tersipu-sipu aku dok kat kusi sebelah doktor, soalan pertama yang doktor tanya, "where have u been, 2 years ago"..hok aloh..aku dah agak dah, cam biasa lah, aku terpaksa la auta sikit, yang aku sibuk, dan lupa pasal gigi sebab dah tak sakit, dan macam biasa jugak doktor membebel la kat aku, bila dah sakit baru datang malam-malam ni, sebenarnya tak sakit pun, cuma tampal tu dah hilang, doktor cakap memang lah hilang sebab dah lama, buat tak habis memang la cenggitu..aku tadah jer la telinga, sambil dia tonyoh-tonyoh gigi aku, dia cakap kene mula dari awal balik la, sebab ubat dah habis, akar pun dah terkatup bla..bla..bla..aku tak faham pun apa dia cakap, dan masa tu aku tak kisah pun dia nak buat apa, asalkan gigi aku selamat.  Dia cakap kene mula dari awal rawatan la, apa la, bla.bla..bla..lagi..cek punya cek, rupanya still ok lagi, tapi kena ulang balik rawatan..haihhh..tu la sapa suruh, pegi rawatan tak habis. Padan muka aku.

Dah habis doktor jolok..tonyok..gigi aku, so selamat lah gigi aku, aku pun tanya ler doktor pasal bayaran, masa tu tak kisah la kene berapa pun, korang bukan tak tau kalau dental ni memang mahai, aku rasa untuk 2 batang gigi ni pun dah habis dekat 1K.  Tapi sib baik ler, doktor baik, dia cakap, tak per la kira bayaran yang hari tu, just bayar RM50.00 bila datang untuk next appointment.  Fuhh lega la sikit, so aku tanya doktor jugak pasal gigi Abg Danny yang naik gigi taring tempat gigi kapak, doktor cakap may be tu extra gigi untuk budak umur 5 tahun, walau apa pun kene bawak dia jumpa doktor dulu. Tak sia-sia aku tadah telinga kat doktor tadi dok bebel kat aku, tapi aku memang selesa dengan Dr. Norshah kat bangi tu, service dia memang terbaek, so don't forget for next appointment on 28th September 2013 at 4.00 pm.  Awal-awal lagi dah set reminder kat phone 1 day before, takut terlupa lagi.

Moral of the story, jangan tunggu gigi sakit baru hegeh-hegeh nak jumpa doktor, kalau dah rasa gigi belubang sikit-sikit tu, cepat-cepat gi tampal ok, nanti tak pasal-pasal dah sakit kene cabut..OOHHHH TIDAKKK..



Makan-Makan Raya 2013

Hola u olsss..ewaahhhh..

Aku ni selalu lambat kan, raya dah sebulan baru la sibuk nk hap date pasal raya,
Aku bukan apa, sibuk ngan keje, ngan pamily, ngan hal peribadi, so tiap kali ngadap komputer nak menulis, ada jer keje nak buat, kejap anak panggil nak nasi, kejap anak panggil nak susu, kejap laki panggil..maklum lah..aku sorang jer pompuan dalam rumah, so semua benda  mesti kene panggil aku.

Ni pun aku just nak sharing, sambut raya kat opis aku jer, ingat nak buat pasal sambut raya with family aku kat kampung dulu, tapi yang tu nanti aku simpan for the next entry la eh, sebab yang tu banyak sangat nak cerita, sampai tak tau nak mula dari mana, dalam kepala banyak sangat nak cerita sampai tangan nak menaip pun tak selaju idea kat kepala, hohoho..boleh plak cenggitu yer..

Opis aku ni memang suka wat makan-makan, aku pun seronok sebab ramai yang suka makan, so nak masak tu rasa cam teruja lak, sambut raya kat opis wat sekali ngan celebrate besday staff in July and August, so we all just wat pot luck jer, leh banyak menu, bila dah orang ni bawak skit, orang tu bawak skit, boleh full 1 meja.
See...macam-macam menu ada, tapi biasalah menu favourite aku is laksam ler, itu pun request from my boss nak makan laksam, sebab dia kata dah lama tak makan laksam aku, sat agi dia kempunan pulak..so..dalam malas-malas nak mengukus laksam, dalam malas nak buang tulang ikan nak buat kuah, jadi ler jugak laksam aku tu..tapi sayur mayur nya aku gi potong kat opis pagi tu..ramai skit yang boleh tolong potong-potong sayur-sayur nya..aku panggil sayur-sayur tu sampah sarap, sebab leceh benor nak potong nya..dah la kene potong haluih-haluih..tapi boss punya pasal aku buat ler dengan penuh kasih sayang..kwang..kwang..kwang..


Gambar laksam ngak ada pulak, sebab bila dah masak, aku dah tak boleh makan and tengok dah masakan aku, jadi jemu pulak, tapi dalam bekas kat hujung tu, aku punya la tu, kih..kih..kih..banyak giler menu hari tu, ada nasi minyak, soto,rendang tok and ketupat palas, roti jala, lodeh, and semua tu belemak, sebab menu tu aku yang listkan kat diorang ni, si baju kuning tu (Kak Sue) bising kat aku, sebab bagi menu sume yang belemak, lantak ler..janji semua sedap..temasuk roti jala Kak Sue tu, memang mabeles.  Yang best lagi kat division aku ni, semua orang pandai masak, taki kira sedap ke tak sedap ker, semua licin. Tak kisah la tu semua kan, janji semuanya rajin masak.
Ni la, ratu-ratu and super mama in my division, yang sumer mabeles with masakan masing-masing, nampak gayanya aku kene balajar buat nasi dagang pulak, walaupun mak aku memang pakar buat nasi dagang tapi aku malas nak belajar, sebab nasi dagang tu kene kukus 3, 4 kali, so agak leceh la kan berbanding dengan laksam, aku nak ajar diorang ni jadi penggemar nasi dagang pulak selepas laksam, biar sumer dah jadi orang kelate mu ha ha ha ha...(gelak jahat)Manalah tau kan suatu hari nanti dok berjauhan ngan mak, bila nak makan nasi dagang, kene la buat sendiri, jadinya, tak boleh tidak, kene belajar jugak nanti, hehehehe..
Yang baju biru pegang baby tu, sebenarnya masih lagi dalam cuti bersalin, tapi sebab kebetulan dia sambut besday dan ada request from my boss nak  minum air katira, so paksa jugak dia datang opis, hangkut sekali ler anak kecik comel dia tu datang opis semata-mata nak wat air katira, air tu jugak ler peberet Abang Long, lepas ni aku pun kene belajar ngan dia buat air katira.  Semua benda aku nak belajar, tengok-tengok satu hapa pun tak buat, angan-angan jer lebih..puih..
 Kesian budak kecik ni, kene buli dengan mak cik-mak cik kat opis ni, redho jer la baby yer, kene cocok-cocok, kene gomol-gomol, kene cubit-cubit kat mak cik-mak cik ni semua.  Yang mak nya pun boleh pulak..tengok jer anak dia kene gomol dengan mak cik-mak cik tak sedar diri ni ha..expecially yang tudung hijau tu, maklum lah, kemaruk nak anak pompuan, tu yang tak boleh tengok baby-baby pompuan, jadi mengeletis lebih..dah la pakai baju dah mengelik, tapi pakai selipar jepun..nasib kau la..

Malas pulak nak cerita panjang-panjang, layan je la gambo raya kitorang 2 3 keping ni ha.. yang penting semua gambo mesti ada aku hehehehe..layannnnn....






Saturday, August 3, 2013

SELAMAT HARI RAYA

Hai..semua..

Hari ni dah 25 hari puasa, cepatnya masa berlalu, pejam celik, pejam celik dah hampir sebulan kita menjalani ibadah puasa..hari Ahad balik kampung..yihuuuu..tak sabar rasanya nak balik kampung n bercuti..

Walaupun kita semua sedang bergembira nak sambut raya, tapi jangan lupa yang berada di pusara sana, sedang mereka dalam kesedihan setelah berakhirnya Ramadhan..

Saat-saat macam ni, aku rindukan mak mertua aku, perginya di bulan yang mulia dan penuh berkat, seminggu di bulan Ramadhan, maknanya tahun ni dah 3 tahun pemergian ibu mentua tercinta...Al-Fatihah untuk mak..

Di bulan baik dan hari baik ni, aku pun nak ucapkan Selamat Hari Raya kepada semua yang mengenali diri ini, dan kepada semua pembaca blog ni (eh ada ke? tak kisah la..) di atas salah silap, samada di sengajakan atau pun tidak, sebab kadang-kadang sebagai manusia, kita tidak sedar apa yang dilakukan tu salah atau betul.  Jadi Maaf Zahir Batin dari aku n family..

Memandangkan jugak, aku dah lama tak ber'bloging' baru start semenjak dua menjak ni jer, so aku nak bagi kad raya kat korang  dari tahun 2010 hingga 2013 hehehe.. semua kad-kad ni, aku post kat FB jer, tp tak tempek kat blog, punya la lama tak menulis kan..tapi jangan risau, aku dah buang dah sarang labah-labah dalam blog ni sikit-sikit..kiranya boleh dah la korang nak baca tanpa gangguan sarang spider tu kan..hihihi..
Ni kad raya tahun 2010, tapi gambar diambik masa raya 2009, gambar pun kecik jer, sebab aku ambik dari FB jer, gambar betulnya pun aku dah lupa mana aku simpan, so boleh la tu kan..
Ni pulak kad raya tahun 2011, tapi gambar masa raya tahun 2010, masa ni, si kenit Ayish Kibung tu tak der lagi, so, sebab gambar masa pakai baju raya dia masih dalam perut, so aku tempek jer gambo dia kat celah-celah kaki En. Khush tu, kira ok la tu, menunjukkan keluar lagi sorang hero..
Kad raya ni, tahun 2012, tapi gambo masa raya 2011, budak kenit Ayish Kibung tu pun baru 5 bulan, sibuk mak dia nak pakaikan baju melayu, pakai pun tak sampai 2 jam, sebab dia rimas, pastu panas mengamuk-ngamuk, masa begambo ni pun dia mengamuk nak tarik kopiah, sambil terjerit-jerit, tapi sebab mummy dia ni mewajibkan setiap tahun kene bagambo, so kene tahan le dulu, sambil begambo meronta-ronta sampai nampak perut dah tu ha..

Dan kad raya tahun ni......sila lah scroll ek...khas buat semua reader n kenalan yang mengenali diri ku ini, ceewaaahhh...























































Katak Kenyang Lalu Tertidur
Gajah Pitam Lantas Terjatuh
Andai Tak Sampai Tangan Menghulur
Ku Pohon Keampunan dari Jauh






































--------------- SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR BATIN-----------------




































Tadaaaaaa......
Macam la suprise sangat..pui...mengada-ngada..eke..eke...eke..ni la kad raya tahun 2013, untuk semua facebooking n readers yang sudi menjengah ke blog ku, kat facebook dah post dah pun..dan seperti biasa gambo raya tahun 2012, dah comey la sikit budak kenit Ayish Kibung tu begambo, walaupun tak tengok camera, lantok la kan, asalkan elok jer dia pakai baju melayu dari pagi sampai petang.  So seperti biasa baju raya kami anak beranak untuk tahun 2013 ni pun sedondon n berkedongdong jugak, temanya..tungguuuuuuu...hehehehe..akan wat kad raya tahun depan pulak..Insya Allah, kalau panjang umur.

Sekali lagi dari saya and family..

SELAMAT HARI RAYA, MAAF ZAHIR DAN BATIN

Dan kepada yang memandu pulang ke kampung, hati-hati dijalanraya..

Tak lupa jugak, untuk member-member ku, yang berada di perantauan, semoga raya tahun ni, banyak buat kuih sendiri....maaf zahir batin dari aku di Malaysia ok..



Waasalam...















Wednesday, July 24, 2013

DEMI DIA

Macam mana aku boleh terjebak tengok citer drama melayu bersiri ni, penin mikir, sebab
dulu kat opis aku, sibuk dok citer pasal Teduhan Kasih la,  Aku Isteri Dia la, lepas tu samarinda, ntah apa tajuknya. Aku pun tak tau, sikit pun aku tak amik pot, pasal drama-drama bersiri ni, sebab aku lebih suka tengok citer Vampire Diaries, Smallville, Once Upon a Times. Konon omputih la sangat kan puiiii.. yang jadi fenomena paling hebat aku rasa Teduhan Kasih, sebab hampir setiap hari kakak kat opis aku ni dok citer pasal Teduhan Kasih, dari aku yang tak tengok citer tu pun tau sinopsis citer tu dari dia.  Status kat FB pun sibuk dok berteduhan kasih, haihhh tak kuasa mak.  Tapi episod akhir citer tu aku tengok la jugak dengan En. Khush, lepas tu dia komen. alaaa..klise jer ending dia, biasa arrr tu, lepas pung pang pung pang kene naya gitu gini, gededuk gedebak kene dera bagai, episod akhir cam biasa la, episod pembalasan..huh boringggg...amboiii..En. Khush ni, macam la dia ikuti citer tu, lantok la, tapi bagi aku pun biasa jer tak der apa yang syok sangat pun, bila aku cakap kat kakak kat opis aku tu, jawapan dia, dah ko tak tengok citer tu, best apa, happy ending, Ady Putra tu romantik sangat, baik sangat, bla...bla..bla..dia ulas balik citer Teduhan Kasih tu siap dengan muka ala-ala syoknyeee kalau dapat somi cam Ady Putra tu.

Lupakan pasal Teduhan Kasih tu, aku nak citer pasal Demi Dia pulak, yang ganti citer Teduhan tu la kalau tak silap aku.  Mula-mula aku tak tengok pun citer ni, tapi since pose ni, sambil nak tunggu bebuka ngan azan maghrib aku tertengok, masa tu pulak scene Abg Zoey (Abang Long panggil Abg Zoey sebab Zoey host gerak geri gasing)  tengah romantik-romantik ngan si Elfira Loy. Teruja la aku nak tengok sebab Zoey yang berlakon.  Aku mula suka budak jambu ni, lepas aku tengok Fear Factor Selebriti Malaysia (FFSM) ler, dia group ngan Dafi, dua-dua jambu, tapi hati kental, sampai ke final tu budak berdua neh dalam FFSM. Lepas berbuka aku pun tengok kat tonton citer nih, mula-mula tengok memang boring, cam citer budak-budak jer, nak-nak, Elfira yang berlakon, lagi aku tengok cam budak-budak nye citer, tapi sebab Abg Zoey punya pasal, aku tengok kat tonton dari episod 1 sampai la episod yang last ditayangkan kat TV.  Aku layan citer ni ngan Abg Long sampai kul 2.00 pagi, last-last aku terbabas sahur, sib baik aku super duper, sempat kejut En. Khush ngan anak-anak makan dengan cepat dan pantas.  Sambil makan En. Khush perli aku, haihhh tengok Abg Zoey punya pasal, sampai lupa sahur.  Saba yer bang yer..
Aku cakap kat En. Khush, 'Bang encem kan Zoey nih?" dengan selamba laki aku jawab, stok anak-anak ikan boleh la, muka jambu bebenor, ishhh..apa la laki aku neh, aku tengok citer ni pun bukan sebab jalan citer, tapi sebab si Zoey Rahman, kui..kui..kui..En Khush cakap lagi kat aku, orang lain minat yang badan-badan kental, cam Aaron Aziz, cam Ady Putra, cam Fahrin, dia minat yang muka cam budak-budak neh. Ish pelik-pelik.  Dah kalau ayang minat yang badan kental tak der la ayang pilih abang, boleh cenggitu.  Laki aku pun suka layan perangai sewel bini dia neh, secara paksa rela suh jugak tengok citer ni.
Ok apa, Zoey ngan El ni, dalam twitter ramai gak la yang dok ngata diorang ni budak geng bas sekolah ngan gerak geri gasing, aku tak kisah orang cakap apa pun, tapi skang petang-petang aku tetap nak tatap si Zoey nih.
Ok ar tuh, sebab dia ni pun dah berumur jugak, cuma muka jer comey, apa salahnya cuba watak-watak dewasa gitu, cam Elfira ni, walaupun cam kanak-kanak riang, tapi dia kira dh besar, cuma badan jer kecik comey, tapi dalam FFSM banyak gak task dia boleh lepas, siap dapat immunity lagi, sampai gak ke final. Bulan puasa ni, banyak pulak citer bersiri si Zoey ni, hari Sabtu aku ngadap Mertua Vs Mertua, citer pun so-so jew, tapi sebab ada budak ni, aku hadap jugak TB.  

Wednesday, July 17, 2013

MASAK-MASAK AND ANAK-ANAK

Yuhuuuu...kembali semula menjenguk ke mari..

Bila tiba bulan puasa ni, hari-hari mesti fikir nak masak apa petang ni, nak makan apa buka nanti
Sambil-sambil buat keje, mesej En Khus tanya nak makan apa
Tapi selalunya jawapan yang aku terima, tak kisah la, janji buka
Memang ler berbuka, ngan air sejuk pun kira berbuka gak
Haihhh..laki aku ni, tak pernah pun nak bagi idea ke apa ker

Kalu aku ngan dia jer berbuka tak kisah sanngat pown
Teh 'O' cicah biskut meri pun jalan jugak
Tapi ni ada 2 mulut lagi yang nak kene suap
Dah la yang tengah tu pose nak kene pujuk sepanjang hari
Yang Abang Long pulak dah biasa puasa nyakat pulak yang adik yang baru belajar puasa
Mau tak stress mummy hari-hari

Dah 8 hari puasa, Alhamdulillah Abang Danny dah puasa 4 hari
Walaupun dia tak faham sangat pun makna berpuasa
Tapi sib baik le ada cite Upin Ipin tu
Ulang tayang ler berkali-kali kasi dia semangat skit
Last-last hafal doa niat puasa ngan doa berbuka
Umur 5 tahun dah puasa kira ok la tu
Mummy ngan papa dulu pun darjah 6 kot baru puasa penuh
Yang selebihnya minum air lam bilik air
papa pun sama gak taktik zaman kecik-kecik


Ni 1st day puasa, Abang Danny penuh semangat bangun sahur, sebab malam tu aku dah ulang tayang  citer Upin Ipin yang episod berpuasa, Abang Long cam biasa la, makan sambil lelap, tapi bab-bab kejut sahur ni, aku rasa En. Khush lagi juara kot kalau nk kejut dia, selagi aku tak kejut tak bangun, kejut anak lagi senang dari kejut apak, haihhhh..

Bulan puasa ni senang pulak aku bangun pagi.
kalau bulan-bulan biasa tu, kalau tak pukul 6.30 a.m, tak bangun, tiap hari anak bekpas coco crunch, itu pun kalau ada, kalau tak minum air jer la anak ye.


Haaa..muka Abang Danny ada senyum, ni hari kedua puasa, tapi hari pertama Abang Danny dapat puasa sampai petang, senyum sampai telinga bila lepas buka En. Khush puji cakap pandai, bagus dan macam-macam yang bagus-bagus belaka la kat dia, kembang sampai telinga.  Tapi memang terkejut, bila amik dia kat taska, cikgu cakap Abang Danny puasa lagi buat masa ni, waktu tu dah pukul 5.30 petang.  Cikgu cakap lagi, dia sorang yang bertahan, kawan-kawan yang lain lepas sorang-sorang buka puasa lepas jam 2.00 petang tadi. Wahh..teruja mummy dengar cikgu cakap cenggitu. 

Yang si kenit tu pulak, sebab mummy terlampau ulang tayang citer Upin Ipin, sibuk pulak dia main osom.  naik pening Abang Long nak melayan si Ayish Kibung tu, kejap-kejap, Bang Yom..Bang Yom..ooootooommm..oootooommm..nak tak nak sambil buka puasa pun Abang Long layankan ajer, nak main osom.

Sabtu ngan Ahad lepas, dua hari berturut-turut Abang Danny puasa sampai petang, risau pun ada jugak bila dia asik tanya mummy lambat lagi ker buka, kejap-kejap tanya jam, kejap-kejap tanya jam, haihhh..naik risau dibuatnya, last-last pujuk suh tido, pujuk punya pujuk, tetido atas pangku mummy, nak manja la kan, perut lapar, sib baik si kenit Ayish Kibung tu tido, kalau tak mau bergaduh bila tengok Abang Danny peluk-peluk mummy.  Budak kenit tu cemburu yang tahap melampau, kalau papa tido kat mummy pun , dia sibuk begolek nak dok tengah, kalau papa tak bagi hantuk kepala kat belakang mummy, yang jadi mangsa mummy jugak, macam ni la nasib bila satu-satu nya pompuan kat umah, asik kene buli jer.

Hujan pun berenti dik oiii, budak ni kalau selagi tak clear kat meja makan tu, dia tak bangun, lepas tu pulak, hantu sos, makan naget nak sos kat dia sorang, bukan sos tomato ek, sos cili, mata sampai berair-air, muka sampai merah-merah, tapi sos tu tetap dia jilat, sampai la licin kat pinggan.  Perkakas rumah yang kat belakang Ayish tu sila abaikan, biasala tak der duit lagi nak pasang kitchen kabinet, pakai lemari dapur jer la, lagi satu sebab aku nak renovate umah ni, kalau buh kabinet kitchen siap-siap, nanti kene pecahkan balik, orang tak berapa nak ada cam aku ni, rasa sayang la kalau dah buat elok-elok nak kene ketuk buang kan, so kau humban jer la sume benda atas lemari tu.  Bak kata mak aku, nak tunggu ko renovate zaman bila pun tak tau, eh mak ni, tak per la mak, dok jer la cam tu,  kira ok la ni, ada rumah sendiri daripada tak der rumah dok menyewa kan.  

Sampai hari ke-8 puasa ni, aku masih belum pegi lagi kat bazar Ramadhan, sebab kalau pegi pun aku tak tau nak beli apa, baik aku masak nasi, goreng telur buh kicap, perah asam limau, buh bawang pun sedap, dari beli lauk kat PARAM, tak kene rasanya kat tekak aku.  So, hari ni, macam biasa la, sambil buat keje, kita google-google resepi apa nak buat untuk buka nanti.  Hope Abang Danny puasa sampai petang, risau jugak jadi cam semalam, cikgu dia goreng nasi, tiba-tiba mintak nasi ngan cikgu, dah pukul 3.00 petang bukak puasa.  Kalau dengan aku tu, mesti pujuk-pujuk, tapi bila dengan cikgu, dia risau pulak, buatnya budak ni pengsan kan susah, so nak tak nak, bagi ler jugak nasi goreng sepinggan.  Dah dapat separuh hari pun kira ok la tu kan.